Resolusi Konvensyen Pemikiran Islam: “Memartabatkan Kalimah Allah

11 Julai 2010

Alhamdulillah, Konvensyen Pemikiran Islam bertajuk “Memartabatkan Kalimah Allah” anjuran Persatuan Ulama’ Malaysia cawangan Pulau Pinang (PUMPP) bersama-sama Angkatan Pemuda-pemudi Islam (API) dan Angkatan Bertindak Banteras Islam Liberal (ABABIL) dengan kerjasama Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) dan Jabatan Mufti Pulau Pinang, berjaya dilaksanakan hari ini dengan penglibatan daripada golongan agamawan, intelektual, pendidik, pelajar dan masyarakat awam.

Konvensyen ini dilaksanakan bertujuan untuk menyalurkan faham aqidah Islam yang sahih dan benar kepada masyarakat tentang isu penggunaan kalimah Allah oleh masyarakat bukan Islam. Apabila isu ini terlalu dihangatkan oleh badan politik, kami tampil bagi memberi penjelasan yang kukuh berdasarkan konsep keilmuan Islam yang sebenar. Barisan alim ulama’ dan intelektual Islam yang diiktiraf menjadi pembentang jemputan untuk mengupas kertas kerja masing-masing dalam konvensyen ini.

Kalimah Allah merupakan satu kalimah yang sangat eksklusif dan agung dalam Islam sehingga kalimah tersebut digunakan dengan berhati-hati dan langsung tidak dipermainkan oleh masyarakat Islam. Tulisan khat kalimah Allah misalnya, digantung di rumah-rumah orang Islam dan diberikan penghormatan tertinggi. Pantang dalam kehidupan orang Islam meletakkan kalimah Allah tersebut di lantai atau di mana-mana tempat yang menunjukkan perbuatan menghina seperti di kasut, stokin, rantai, baju dan sebagainya.

Situasi ini memperlihatkan kepada kita betapa seriusnya umat Islam dalam mengamalkan ajaran wahyu serta mengagungkan Allah setiap masa dalam kehidupan seharian. Walaupun kalimah Allah sekadar tulisan, tetapi kalimah tersebut memberikan satu makna yang maha agung dalam diri masyarakat Islam. Pegangan makna kalimah inilah menjadikan masyarakat Islam begitu kuat prinsip ketuhanannya berbanding masyarakat agama lain.

Kami menyambut baik dan menyokong sepenuhnya keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan yang memutuskan bahawa penggunaan kalimah Allah hanyalah untuk masyarakat Islam sahaja. Keputusan ini menampakkan keseriusan Majlis Fatwa Kebangsaan dalam menjaga kesucian aqidah masyarakat Islam di negara ini. Kami juga berharap setiap pihak terutama masyarakat Islam dapat menghormati keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan yang bertanggungjawab merungkai permasalahan semasa masyarakat Islam di Malaysia dan tidak mempermainkan isu penggunaan kalimah Allah ini.

Justeru, antara resolusi yang digariskan dalam konvensyen kali ini ialah:

  1. Penguatkuasaan fatwa oleh badan-badan berkuasa terhadap penggunaan kalimah Allah SWT oleh golongan bukan Islam dalam bahan penerbitan, media massa, laman maya dan sebagainya.
  2. Penelitian dan penilaian semula silibus subjek Pendidikan Islam oleh badan-badan berkaitan dalam menekankan aspek aqidah khusus kepada konsep ketuhanan dan makna kalimah Allah SWT.
  3. Pemerkasaaan proses pendidikan masyarakat melalui sebaran am (radio, televisyen, akhbar, majalah, blog, dll) serta ceramah-ceramah oleh badan kerajaan dan bukan kerajaan secara konsisten di setiap institusi kemasyarakatan setempat.
  4. Penglibatan serius pihak kerajaan dan bukan kerajaan terhadap polisi berkaitan agama secara langsung bagi memastikan pencegahan terhadap sesuatu isu yang sensitif dapat dibendung sejak dari awal lagi.
  5. Sekatan gelombang pluralisasi agama dan liberalisasi Islam dalam masyarakat secara serius dan telus oleh setiap badan yang bertanggungjawab.
  6. Pemantapan semula institusi ulama’ dan pertubuhan berkaitan Islam dalam pemahaman aqidah yang sahih bagi mengelakkan pertelagahan pendapat yang boleh membawa kepada kemudaratan iman dalam kalangan masyarakat.
  7. Mengingatkan intelektual Islam yang terlibat supaya tidak menjadikan isu kalimah Allah sebagai isu sensasi dan kontroversi secara populis semata-mata untuk kepentingan peribadi serta publisiti murahan mereka sendiri yang boleh mengakibatkan pecah belah dalam institusi kemasyarakatan.

KENYATAAN RASMI FORUM 9 September 2009

FORUM Lancar Kempen Tandatangan Mendesak Jeff Ooi Memohon Maaf dan Meletak Jawatan

Susulan bantahan FORUM bersama 32 NGO kepada kenyataan Jeff Ooi pada 2 Ogos 2009 lalu yang mengaitkan Syariah Islam dengan ekstrimisma. [STAR: 2 Ogos 2009: N12].

FORUM merasa kecewa YB Jeff Ooi; Ahli Parlimen Jelutong dan Ketua Staff, Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang bersikap angkuh dan terus enggan memohon maaf sehingga ke hari ini dan sikap Kerajaan Negeri yang mendiamkan isu ini seolah-olah ia tidak berlaku (sweeping the issue under the carpet).

Keengganan Kerajaan Negeri dan Pemimpin Politik tempatan mengambil tindakan tegas ke atas hal ini menunjukkan sikap mereka yang tidak menjaga sensitiviti dan kepentingan Islam sebagai agama Persekutuan dan anutan majoriti masyarakat di Malaysia.

FORUM berpandangan bahawa kenyataan Jeff Ooi telah menimbul kemarahan umat Islam khususnya di Pulau Pinang, menghasut kepada perpecahan dan menimbulkan salah faham terhadap Islam.

Sehubungan itu, FORUM melancarkan kempen tandatangan rakyat mendesak permohonan maaf dan perletakan jawatan atau pemecatan Jeff Ooi. NGO-NGO dibawah FORUM akan menggerakkan kempen diperingkat akar umbi untuk memberi kesedaran masyarakat berkenaan isu ini dan memohon sokongan masyarakat supaya pemimpin yang tidak menghormati dan menghina  Islam ini tidak lagi memegang sebarang jawatan kerajaan.

FORUM telah mendapat maklum balas dari masyarakat awam, pimpinan tempatan termasuk masyarakat peniaga di Pulau Pinang yang merasakan pemecatan YB Jeff Ooi adalah wajar dan FORUM berhajat mengumpulkan maklum balas atau protes bertulis dalam bentuk kempen tandatangan.

Sepertimana masyarakat muslim dan bukan Islam yang berpandangan bahawa insiden protes kepala lembu di Selangor oleh individu-individu tertentu adalah perbuatan yang tidak beradab dan tidak menjaga sensitiviti agama lain, maka penghinaan “Syariah sebagai Ekstrim” oleh seorang ahli Parlimen dan individu berjawatan penting dalam kerajaan negeri P.Pinang adalah tidak dapat diterima sama sekali.

FORUM selepas insiden dihalau dari tingkat 52, KOMTAR oleh pegawai Kerajaan Negeri dalam usaha menyampaikan bantahan kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, berhasrat ingin sekali lagi berusaha mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri bagi mendapatkan penjelasan mengapa YB Jeff Ooi masih enggan memohon maaf dan belum mengosongkan jawatan hingga ke hari ini.

Mohd Hafiz Nordin dan Md Roslan Hashim

(Jurucakap FORUM)

NGO-NGO yang menyokong kenyataan mendesak permohonan maaf dan perletakan jawatan YB Jeff Ooi (14 Ogos 2009):

1.      Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) P.Pinang

2.      Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Kedah

3.      Angkatan Pemuda Pemudi Islam (API)

4.      Badan Anti IFC (BADAI)

5.      Badan Kebajikan Nun (BAKUN)

6.      Badan Kebajikan Pendidikan Islam P.Pinang(BAKIP)

7.      Haluan Malaysia caw P.Pinang

8.      Ikatan Muslimin Islam (ISMA) P.Pinang

9.      Ikatan Pengkajian Syariah Malaysian (ISRA’)

10.  Institut Al-Qayyim (IQ)

11.  Institut Pengemblengan dan Pembangunan Komuniti (IMPAK)

12.  Islamic Propagation Society International (IPSI)

13.  Jaringan Pemuda Da‘wah Islamiyyah (JUNDIYY)

14.  Jawatankuasa Warisan Hadharah Islamiah (JAWHAR)

15.  Jemaah Islah Malaysia P. Pinang (JIM)

16.  Kelab Rakan Islah Malaysian (KARISMA)

17.  Kelab Remaja JIM

18.  Muhammadiyah International

19.  Majlis Muafakat Warga Desa (RURAL CITIZEN)

20.  Persatuan Ulama’ Malaysia Pulau Pinang (PUMPP)

21.  Pergerakan Penyelidikan dan Pembangunan Komuniti (KOMUNITI)

22.  Persatuan Anak Jati Melayu P.Pinang (PAJIM)

23.  Rumah Upayadaya Dan Harapan Ar-Rahman (RAUDHAH)

24.  Sekretariat Dakwah Non-Muslim P. Pinang (SDPP)

25.  Sekretariat Himpunan Ulamak Rantau Asia (SHURA)

26.  Sekretariat Ulama Dan Profesional Islam (SUFI)

27.  Teras Pengupayaan Melayu(TERAS)

28.  Ummah Aid

29.  Wadah Pencerdasan Umat (WADAH)

30.  Wanita JIM

31.  Warga Kilang.Com

32.  Young Muslim Sport Club (YMSC)

*untuk tujuan perhubungan sila hubungi Saudara Roslan Hashim: 019 444 1404 (JIM), Ustaz Mohamad Hafiz: 019 4127 440 (PUMPP) dan Saudara Yusuf: 019 5766 440 (PAJIM)

Program Himpunan Ummah Selamatkan Gaza (HIMMAH)

Tarikh: 1 Februari 2009 (Ahad)

Tempat: Dewan Milennium, Kepala Batas, Seberang Perai, Pulau Pinang

Masa: 7.00 petang – 11.00 malam (solat Maghrib & Isyak berjemaah)*

Ucapan oleh Mohd Azmi Abd Hamid (presiden TERAS)**, ustaz Mutalib Ma’arof (Mudir an-Nahdhoh), saudara Khalid (wakil dari Palestin), dan Dr. Mohd Roslan Hashim (JIM Pulau Pinang)

Undangan khas bacaan ayat-ayat suci al-Qur’ān oleh saudara Fakhrulradzi (johan akademi al- Qur’ān TV9) dan persembahan oleh Nazrey Johaney (bekas vokalis Raihan)

Tayangan khas multimedia, kempen dana untuk Palestin, kempen boikot besar-besaran, jualan barangan menyokong Palestin, dan banyak lagi!

Anjuran: Jabatan Mufti Pulau Pinang, Forum Penyelarasan Ummah Pulau Pinang (FORUM), Jamaah Islah Malaysia (JIM) Pulau Pinang, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Pulau Pinang, Persatuan Ulama’ Malaysia cawangan Pulau Pinang (PUMPP), HALUAN Pulau Pinang, Teras Pengupayaan Melayu (TERAS), Institut al-Qayyim (IQ), Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), dan Youth Muslim Sports Club (YMSC)

*Sila bawa sejadah

**Siaran langsung dari Gaza

Setelah kejayaan Ops Sayangi Remaja kali pertama pada malam merdeka yang lalu, BADAR sekali lagi menganjurkan Ops Sayangi Remaja II bersempena sambutan ambang tahun baru 2009. Program ini akan dijalankan di sekitar kawasan Pulau Pinang dan bakal menjadi program tahunan untuk mendekati dan menyelami pemikiran serta tingkah laku para remaja yang berkeliaran hingga lewat tengah malam terutama remaja yang keluar bersama pasangan cinta mereka.

Pendekatan yang akan digunakan juga bukanlah menghukum atau menangkap mana-mana remaja yang dilihat berbuat maksiat di tempat awam tetapi lebih kepada motivasi langsung dan perkongsian ilmu kepada golongan remaja sebegini. Konsep pencegahan juga akan digunapakai dalam program pada kali ini bagi mengurangkan ruang maksiat di sekitar tempat awam tumpuan muda-mudi berpasangan ini. Pendekatan sebegini wajar bagi mendalami golongan remaja secara mesra namun tidak mengabaikan tatacara serta tujuan dakwah Islam.

Penyertaan terbuka kepada semua lapisan masyarakat. Bagi peserta mahasiswa di Institut Pengajian Tinggi (IPT), sebarang penyertaan bolehlah menghubungi saudara Saiful Afindi (013-9900138) atau saudari Nur Azwahidah (019-4553985) untuk makluman lanjut. Penyertaan sebolehnya dikemukakan sebelum atau pada 29 Disember 2008. Semoga usaha dakwah yang kecil ini memberi manfaat yang besar kepada nasib generasi anak-anak kita kelak. Amin.

Wacana Islam & Undang2

April 2024
M T W T F S S
1234567
891011121314
15161718192021
22232425262728
2930  

Categories

Archives

Top Clicks

  • None

Recent Comments

Blog Stats

  • 405 hits